Friday, December 18, 2009

Duduk sebentar ..dan beriman..


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..ALLAH adalah satu-satunya pemelihara alam..pemelihara hati dan jiwa,Segala puji HANYA untuk Allah atas segala pemeliharaan-Nya , dan promote tertinggi buat kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W.Contoh teladan terbaik sepanjang zaman.

Dalam kepenatan ..

dalam kelelahan...

Mari sahabat..mari kita duduk sebentar ...dan beriman

IJLIS BINA NU'MIN SA'AH (duduk dan beriman sebentar )

mari teman..mari kita cas iman kita bersama,mar
i sama-sama bermuhasabah

Apakah kesibukan kita semakin mendekatkan diri kita kepada ALLAH??? atau...??

Duduklah sebentar..dan muhasabah iman di hati..

Friday, December 4, 2009

Marilah menjadi pemimpin Robbani..



Assalamualaikum wr wb wt.Salam mesra abadi dan salam kasih sayang kerana Allah..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .KepadaNya tempat manusia bergantung dan berharap, daripada-Nya muncul segala kekuatan manusiawi.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

melayari pelbagai blog mencari kata-kata peransang buat pemimpin,saya terjumpa satu post yang bertajuk '' Marilah menjadi Penulis Rabbani" ( dari blog cikgu saya :http://my.opera.com/azmibhr/blog/ )yang akhirnya saya ubah sedikit sahaja isi dan tajuknya agar terarah kepada kepimpinan".Semoga perkongsian ini memberi manfaat..

Sebagai manusia biasa, kita tentunya memiliki berbagai kekurangan. Sekiranya kita merasakan kelebihan kita lebih banyak dari kekurangan maka itulah kekurangan kita yang paling besar dan merbahaya. Disinilah benih riak dan takbur mula berputik.

Siapalah Nabi Adam AS jika tidak diberikan ilmu oleh Allah SWT. Bukankah dengan ilmu yang Allah anugerahkan kepadanya maka baginda menjadi mulia dan dihormati oleh para malaikat. Apa yang ingin saya tegaskan disini ialah ilmu itu dianugerahkan oleh Allah SWT berkat usaha dan kesungguhan kita untuk mendalaminya. Usaha kita untuk memahami deen Allah SWT serta memahami kehendakNya yang Maha Esa dengan penuh kerendahan akan menjadikan kita sedar akan kekurangan diri kita hingga menjadikan kita pencinta ilmu. Pencinta ilmu yang sentiasa yang sentiasa tunduk mengenali diri sambil mendongak kebesaran dan keagungan Ilahi. Semakin banyak ilmu yang kita perolehi semakin rendah dan kerdil diri kita berdepan dengan kebijakssayaan Allah SWT; Semakin lembut hati kita menghayati kebenaran dan semakin terbuka jiwa kita untuk mendengar dan mendalami ilmuNya serta semakin terbuka minda kita untuk mendengar pandangan dan nasihat. Fikiran kita menjadi semakin terbuka dan hati kita semakin lembut. Kita tidak berkeras den
gan pendapat kita dan tidak berbangga dan merasa cukup dengan ilham kita.

Berapa ramai pemimpin yang terperangkap dengan ilham dan pendapat sendiri sehingga semakin hari ia semakin jauh dari sumber-sumber yang benar lalu terperangkap dengan kecetekan ilmunya. Kata-katanya semakin hari semakin hambar dan hilang kematangan tetapi tanpa disedari dirinya terperangkap dengan kesombongan, riak dan takbur diri. Saya sendiri kadang-kadang merasa satu kecenderungan untuk banyak bercakap dan kurang membaca dan bekerja hingga akhirnya kata-kata itu menjadi ghayah (matlamat) bukan lagi wasilah (alat) untuk mendekatkan diri kepada Allah SW
T. Saya yakin bisikan dan kecenderungan ini sentiasa ada dalam setiap langkah kita, tidak terhad dalam bidang kepimpinan sahaja. Seringkali ada bisikan yang mengatakan kata-kata saya lebih baik dari si fulan dan si fulan, idea saya lebih bernas, pandangan saya lebih luas dan bahasa saya lebih indah. Kadang-kadang saya sekadar mendengar sekali imbas kata-kata atau hasil kerja dari pemimpin lain, bahkan kadang-kadang terlalu sibuk untuk bersimpuh mendalami keluasan ilmu Allah SWT. Apakah gunanya lagi tanggungjawab kita kalau ianya bukan sebagai ubudiyyah kita kepada Allah SWT, apakah nilainya kata-kata kita kalau ianya tidak meningkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT. Seringkali istighfar mengusir segala bisikan ini namun ia datang kembali. Seseorang telah bertanya kepada Hassan Al Basri “Adakah syaitan itu tidur?” Lalu jawabnya ringkas tetapi bermakna “kalau syaitan itu tidur maka kita ada banyak masa untuk berehat.”

Saya pernah meng
enali seorang pemimpin yang tewas menjadikan kata-katanya sebagai ghayah, lalu cemerlanglah ia dalam kepimpinannya tetapi kepimpinannya gagal untuk menjadikan dirinya sebagai hamba Robbani, anakk yang soleh, masyarakat yang perihatin serta pendokong kebenaran. Kata-katanya tidak lagi memandu manusia pada Kebenaran Iman tetapi sekadar pada pandangan dan pendapatnya. Ia membahaskan persoalan iman tetapi hatinya sendiri semakin keras dan hilang kepekaan terhadap tuntutan-tuntutan iman. Ia berkata-kata tentang kasih sayang dan penghormatan tetapi dirinya sendiri terasing dalam dunianya hingga tiada lagi keperihatinannya kepada manusia yang ingin mendengar ajakan dan sapaannya kepada kebenaran. Lidahnya begerak dan berkata-kata tetapi jiwanya bisu, pandangannya bebas menerokai pelbagai isu dan pandangan tetapi dirinya sendiri terkurung lesu. Katanya memancarkan cahaya pembimbing tetapi hatinya sendiri kelam gelita. Lalu ia hilang dirinya sendiri dirimba pujian dan kemasyhuran.

Marilah kita menjadi pemimpin Robbani yang menjadikan kata-kata sebagai wasilah dakwah dan tarbiyyah tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan lain yang juga akan disoal di Akhirat nanti. Sedarlah bahawa kita ini hamba Allah yang perlu mentaatiNya, pengikut Rasulullah yang perlu mencontohinya, anak yang dilahirkan yang perlu tahu menghargai, suami atau isteri yang akan ditanya di Akhirat nanti, Ibu atau ayah yang akan dipersoalkan, anggota masyarakat yang bertanggungjawab serta tiang bagi terbinanya Ummah Islamiyyah.

MELANGKAHLAH SERTA BERGERAKLAH DENGAN PENUH YAKIN BAHAWA ALLAH BERSAMA KITA.

Tuesday, November 17, 2009

Titiskan air matamu untuk Rasulullah S.A.W..


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,Maha Agung lagi Maha Pencipta dan Maha bagi segala-galanya.Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada-Nya tanpa rasa jemu kerana masih memberi ruang kepada kita untuk memuhasabah diri dan berusaha mempertingkatkan ilmu dan kefahaman islam dalam diri kita. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang mendidik umat manusia untuk menyambung risalah amar makruf dan nahi mungkar ..

Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi suatu post mengenai Nabi Muhammad yang sangat m
enyentuh jiwa saya..sangat membina InsyaAllah,mengenai seorang tokoh yang sangat ulung,air mata membasahi pipi tatkala membaca post ini , betapa jiwa saya dan jasad saya tidak teruji seperti baginda...sediakanlah hati bagi yang ingin membaca , moga Allah kurniakan hati-hati yang sensitif saat membaca post ini... saya copy post ini dari blog cikgu saya..saya copy ye , bukan post saya (^-^)..InsyaAllah alamat sesawang cikgu saya ialah : http://my.opera.com/azmibhr/blog/


InsyaAllah sama-sama kita muhasabah diri..semoga bermanfaat dan selamat membaca..


Mimpi yang saya alami beberapa tahun dulu benar-benar memberi kesan yang mendalam terhadap cinta saya pada Rasulullah SAW walaupun saya sebenarnya terasa malu mengungkapkan kata cinta padanya. Mimpi yang cukup panjang itu benar-benar memberi kesan yang cukup mendalam pada jiwa saya. Suatu malam, saya bermimpi berjalan bersama sebuah kafilah dalam satu musafir yang cukup jauh di padang pasir. Biasanya ketika mimpi kita akan rasai suasana yang ‘real’; kalau sakit kita akan rasa sakit dan kalau panas memang kita rasakan panas tetapi mimpi saya ini perasaannya terlalu berbeza.

Saya tidak dapat merasakan kehangatan padang pasir dalam mimpi saya ini kerana disebelah saya ada seorang lelaki yang benar-benar mengikat hati saya untuk sentiasa tertumpu kepadanya. Kami terus menempuh perjalanan yang panjang. Kami lewati satu penempatan demi satu penempatan. Setiap kali kami berhenti di suatu penempatan ada saja penduduk di situ yang datang menghampiri saya dan berbisik ketelinga saya “Yang bersama kamu itu adalah Rasulullah” lalu saya menjawab ‘bukan rasanya”.

Bukannya saya tidak percaya bahawa itulah lelaki yang terlalu saya impikan untuk melihat wajahnya tetapi saya seolah-olah tidak percaya Allah benar-benar menjadikan impian saya itu jadi kenyataan. Siapa yang tidak ingin menatap wajah Baginda SAW. Sahabat Rasulullah SAW, ada yang wajahnya pucat seperti orang sakit hanya kerana beberapa hari tidak berjumpa Rasulullah SAW. Saya tidak sangka kali ini saya benar-benar dapat menatap wajah insan yang paling saya cintai itu.


Kami meneruskan perjalanan, ketika kami berhenti makan, datang lagi seorang lelaki yang membisikkan ke telinga saya, “Yang makan bersama kamu itu adalah Rasulullah SAW” Saya memberi jawapan yang sama dan dengan perasaan yang sama.

Kami terus berjalan hinggalah kami sampai di Mekah. Tidak jauh dari Kaabah,saya mula mendirikan solat. Pada ketika itulah saya tidak lagi dapat menahan air mata kegem
biraan saya. Saya menangis sepuas-puasnya kerana terlalu gembira hinggalah saya tersedar dari mimpi tersebut. Airmata membasahi bantal saya. Ketika itu sudah hampir waktu subuh. Kemudian diwaktu solat subuh, saya mengimami rakan serumah saya Jamaludin yang biasa saya panggil Jamal. Sekali lagi saya tidak dapat menahan tangisan saya. Sepanjang solat subuh itu saya terus menangis.

Mimpi itu walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu tetapi kesannya masih segar. Setiap kali saya membaca lembaran sirah, saya tidak mampu menahan air mata saya apatah lagi ketika berdepan dengan kisah-kisah penyiksaan terhadap Baginda SAW. Saya akan menangis apabila diceritakan Rasulullah SAW menangis atau bersedih. Saya sering menghadapi sirah Rasulullah SAW seperti melihat sebuah filem yang hidup dan bergerak. Bahkan kadang-kadang saya akan menangis hanya dengan mendengar namanya disebutkan.

Mungkin tidak ramai yang mengalami mimpi yang sama sebagaimana yang saya alami tetapi saya tetap rasakan bahawa semua kita perlu menangis untuk Rasulullah SAW. Cuma, m
ungkin kita terlalu sibuk untuk benar-benar mengenali Baginda, terlalu sibuk untuk menghayati liku-liku hidup Baginda, lalu air mata kita terlalu mahal untuknya. Sekiranya kita menelusuri sirah hidupnya, menjiwai setiap pengorbanan dan keperitannya untuk keimanan itu sampai pada hati-hati manusia maka kita tentunya akan menangisi Baginda SAW.

Pengorbanannya diluar batas kemanusiaan. Pernah Baginda berjalan-jalan ditengah padang pasir ketika tengahari yang panas yang kebiasaannya masyarakat Arab akan berehat di rumah. Apabila Baginda bertemu dengan dua orang sahabat maka ditanya kepada Baginda, kenapa Baginda SAW di situ, maka jawabnya “Aku lapar, sudah beberapa hari aku tidak makan”.

Bukankah Saidatina Khadijah isterinya adalah seora
ng janda yang cukup kaya dan Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang Berjaya dan disenangi?

Kemanakah perginya harta kekayaan Baginda?

Kenapa Baginda harus lapar?


Bahkan setelah dijamu makan oleh sahabat tadi, Baginda mint
a pula sedikit makanan untuk anaknya Fatimah RA, kata baginda “Sudah beberapa hari makanan tidak masuk ke dalam perutnya”. Kemanakah seluruh kekayaan Baginda dibelanjakan hingga Baginda dan anak kesayangannya itu terpaksa melalui hari-hari yang panas dalam kelaparan?

Bukankah semuanya dikorbankan untuk kita?
Untuk keimanan sampai ke hati-hati kita,
untuk kita mengenal Allah sebagai Ilah dan Rabb
dan untuk kita selamat dari azab neraka Allah SWT.



Kenapa baginda harus berkorban hingga begitu sekali? Begitulah mendalamnya cinta Baginda kepada kita ummatnya. Tak terbayangkah kita ketika Baginda berdepan dengan sakitnya sakaratul maut? Nama siapakah yang disebut-sebut Baginda? Bukankah Baginda menyebut … ummati! ummati! ummati!. Sekiranya kita benar-benar cintakan Baginda tentunya kita akan terdengar panggilannya itu setiapkali kita membaca kisah saat-saat kematinnya. Ya, kita tidak dapat dengar dengan telinga kita tetapi kita akan dengarkannya dengan jiwa dan nurani kita. Panggilan yang penuh kasih dan pengharapan agar kita nanti akan bersamanya di Akhirat nanti.

Cuba kita bayangkan hijrah Baginda ke Madinah. Perjalanan yang hampir 500 KM. Menempuh padang pasir yang kontang dengan batuannya yang tajam sedangkan musuh boleh muncul pada bila-bila masa sahaja.

Cuba kita bayang peristiwa di Ta'if. Setelah begitu hebat dakwahnya ditentang di Mekah, Baginda berangkat ke Ta'if dengan seribu harapan. Tidak ada unta yang menjadi tunggangan Baginda melainkan Keimanannya pada Allah SWT, Tidak ada tongkat melainkan Roja'nya pada Allah dan tidak ada bekalan selain Taqwanya pada Allah SWT. bagaimana pula layanan penduduk Ta'if yang merupakan tetangga Halimaton Sa'diah, ibu susuan Baginda? Apa yang mereka lemparkan pada tubuh Baginda?. saidina Zaid menjadikan dirinya sebagai benteng lalu hampir-hampir kepalanya pecah. Darah-darah baginda SAW mengalir dari betis-betisnya lalu membasahi bumi Ta'if. Adakah Baginda doakan kebinasaan kepada mereka yang begitu membencinya? lalu apa yang Baginda doakan?

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu, kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha."




Beratnya ujian yang baginda tempuhi terlalu luar biasa. Bahkan ketika disaat-saat awal baginda menerima risalah ini baginda merasa begitu tertekan. Al Quran menceritakannya dengan nada-nada yang sayu dan menyentuh hati. Kalau kita melihat pada surah Ad Dhuha. Ya, Surah Ad Dhuha yang pendek tetapi begitu luas maknanya.

Saya menjadikan surah ini sebagai penawar bagi kegelisahan hati, penghilang kesedihan dan surah yang menyegarkan kembali rasa rindu dan cinta saya pada Rasulullah SAW walaupun saya rasakan cinta saya padanya tidak seperti yang sepatutnya. Saya akan selalu bacakan surah ini ketika saya merasa kehidupan terlalu membebankan. Jiwa saya akan merasa ringan kerana surah ini menggambarkan bebanan yang Baginda tanggung tidak dapat saya bandingkan dengan apa yang sedang saya alami.

Syed Qutb menggagmbarkan surah ini sebagai bisikan penuh kasih sayang dari Allah SWT untuk memujuk Rasulullah kerana beratnya beban yang baginda sedang alami.

“Pokok pembicaraan surah ini, pengungkapannya dan pemandangan-pemandangannya, bayangan-bayangan dan nada-nada pernyataannya merupakan suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Semuanya itu adalah dituju kepada Rasulullah s.a.w. untuk menghibur dan mententeramkan hatinya.


Semuanya itu merupakan tiupan bayu rahmat, bisikan kasih, perdampingan yang mesra, timangan-timangan kepada jiwa yang lesu, fikiran yang gelabah dan hati yang menderita.


Berbagai-bagai riwayat telah menjelaskan bahawa penurunan wahyu telah putus seketika kepada Rasulullah s.a.w. Malaikat Jibril telah terlambat membawa wahyu Allah kepadanya kerana itu kaum Musyrikin melancarkan kempen bahawa Muhammad telah ditinggalkan Tuhannya! Lalu Allah turunkan surah ini.” (Syed Qutb: Fi Zilalul Quran)


Surah ini turun setelah begitu lama wahyu terhenti. Sedangkan wahyu itulah sumber kekuatan jiwa baginda, bekalan rohani untuk berdepan dengan peritnya ujian dan beratnya bebanan risalah dakwah. Wahyu-wahyu Allah dan pertemuan dengan kekasihnya adalah penawar untuk merawat luka-luka jiwanya akibat tentangan dan kebencian kaumnya sendiri kepada baginda.

Kini wahyu terhenti. Baginda merasa begitu terasing dan keseorangan. Bahkan ada dari kalangan kafir Quraisy yang mula mempersendakan baginda dengan kata mereka ‘Tuhan Muhammad telah meninggalkannya”

“Putuslah bekalannya, keringlah matairnya dan sepilah hatinya dari kekasih, dan tinggallah beliau seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau kekasih tercinta yang biasa dini’matinya. Dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut.”
(Syed Qutb)

Ketika tekanan berada dipuncaknya inilah turunnya surah Ad Dhuha seolah-olah memujuk Baginda SAW:

  1. Demi waktu matahari sepenggalahan naik,
  2. Dan demi malam apabila Telah sunyi (gelap),
  3. Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.
  4. Dan Sesungguhnya hari Kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang
  5. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas.
  6. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu dia melindungimu?
  7. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung[1583], lalu dia memberikan petunjuk.
  8. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan.
  9. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.
  10. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya.
  11. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu khabarkan.



Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, perdampingan, kerelaan, ketenteraman dan keyakinan:

“Seluruh perasaan kasih mesra, kerelaan dan kerinduan itu mengalir dari suasana ungkapan yang seni, kata-kata yang lembut, dan irama indah yang keluar dari ungkapan-ungkapan itu iaitu irama yang bergerak dan melangkah tenang dan melahirkan gema yang halus dan sayu. Allah telah memilih satu ‘frame’ bagi mengungkapkan perasaan kasih sayang, rahmat yang tenang, kerelaan yang menyeluruh dan kerinduan yang halus ini.


Dia telah memilih waktu pagi yang terang cemerlang dan malam yang sunyi itu sebagai frem yang amat sesuai dengannya. Itulah dua waktu yang paling jernih hening dan bening dari waktu-waktu siang dan malam. Itulah dua waktu yang merangsangkan manusia melepaskan menungan-menungan dan pengamatan-pengamatannya, merangsang jiwanya berhubung dengan alam buana dan dengan Allah Penciptanya dan mengarahkannya supaya bertawajjuh kepada Allah dengan tasbih-tasbih dan dengan melahirkan perasaan yang gembira dan jernih. Allah telah menggambarkan dua waktu itu dengan kata-kata yang sesuai.


Malam yang dipilih pun bukan sebarangan malam tetapi malam yang dimaksudkan ialah waktu malam yang tenang, jernih, hening, diselubungi tompokan-tompokan awan yang tipis yang merangsangkan perasaan sedih, bimbang dan terharu yang halus dan renungan yang tenang seperti suasana hidup yatim dan menumpang orang lain. Kemudian ia menyerlah tenang bersama waktu pagi yang hening. Demikianlah warna-warna gambaran itu sesuai dengan warnawarna fremnya. Dengan ini pengungkapan ayat-ayat ini menjadi begitu serasi. Gubahan ungkapan yang cukup indah ini membuktikan bahawa al-Qur’an itu dan gubahan Allah yang indah, tidak dapat ditandingi dan ditiru.


Allah S.W.T. telah bersumpah dengan dua waktu yang jernih hening, dan menghubungkan di antara gejala-gejala alam dengan perasaan-perasaan jiwa serta menyarankan kepada hati manusia satu bentuk hidup yang sedar dan mempunyai hubungan saling mesra dengan alam yang indah dan dinamis, yang bermesra dengan setiap yang hidup. Hati ini hidup dalam hubungan penuh kemesraan dengan alam ini dan tidak lagi merasa sepi dan dagang di alam ini Dalam surah ini kesan rasa kemesraan itu benar-benar dirasai, seolah-olah Allah mahu menyarankan kepada Rasulullah s.a.w. dari awal surah lagi bahawa Tuhannya telah melimpahkan rasa kemesraan di sekeliling hidupnya di alam ini, ia bukannya terbuang dan terbiar dan bukan pula sebatang kara.”
(Syed Qutb)


Allah SWT mulakan dengan menggambarkan Rubbubiyyah dan Uluhiyyahnya; gambaran tentang halus dan rapinya pemerhatinNya. Seolah-olahnya Allah menceritakan bahawa segala kesulitan, segala kesdihan dan tekanan yang sedang baginda alami semuanya dalam ilmu Allah SWT. Allah SWT tahu yang baginda sedang bersedih, Allah tahu keperitan jiwa yang sedang Baginda lalui dan Allah juga tahu segala ujian berat yang terpaksa Baginda depani. Dan bukanlah Allah Allah meninggalkan Baginda dan tidak pula Allah marah padanya.

“Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.”

Lalu diteruskan dengan ayat-ayat yang menggambarkan bagaimana Allah mengurus kehidupan baginda sejak baginda yatim piatu dan tak punya apa disamping janji-janji Allah untuk baginda.


Inilah secebis kisah perjuangan baginda SAW untuk kita menanamkan cinta dan rindu kita kepadanya. Semoga Ramadhan ini akan menyegarkan pohon cinta kita kepadanya. Marilah kita sirami pohon iman ini dengan menghayati sirah baginda diwaktu-waktu yang berharga ini. Semoga air mata kita tidak lagi terlalu berharga untuk Baginda Rasulullah SAW.

Monday, November 2, 2009

:::Semangat tanpa ILMU:::


Setinggi-tinggi rasa syukur saya panjatkan kehadrat ilahi,selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.Selaut Kasih pada Allah Rabbul Jalil kerana menitipkan rasa cinta yang kepada ummatnya, dan dengan rasa cinta yang sedikit itu telah membenihkan rasa kasih dan cinta kepada ummat manusia..

Minggu ini,

penat.letih.dan saya cuba..

melepas lelah ,cuba lari..

dari situasi

Mengapa begini???

Mengapa manusia yang bijak,

kalah dengan emosi,

menunjukkan...

~SEMANGATtanpaILMU~



Fathi Yakan menyebut : "Medan Amal adalah lebih sukar berbanding medan berkata-kata"

Mudah untuk manusia berkata-kata,menunding jari sesama sendiri,menyatakan kesalahan orang lain.. TETAPI,harus dan wajar diingat manusia yang membuka pekung manusia lain hakikatnya membuka pekung diri sendiri..

Kata-kata penuh warna tapi tanpa isi ,walaupun bukan retorik tapi nyata seolah-olah manusia begini cuba menonjolkan diri sendiri, ..

Semangat tanpa ilmu..ibarat bunga tanpa warna
buah tanpa rasa,
wujud zahirnya, NAMUN tidak terasa
rohaninya..

Entri saya pada kali ini ialah mengenai apa yang berlaku dihadapan mata,sesuatu yang meruntun hati dan mengusik jiwa saya..apabila melihat situasi SEMANGATtanpaILMU..

Rasanya tidak perlu saya ulas dengan panjang kerana hadirnya entri ini bukan untuk mengkritik , jauh sekali mengutuk...tetapi atas dasar kasih dan cinta sesama ISLAM, hadirnya entri ini adalah untuk menasihati..Ingatlah wahai saudaraku:Perjuangan rasulullah tidak dibina berdasarkan emosi atau semangat semata-mata , memang wujud semangat dalam penyebaran ISLAM, tetapi tika itu ILMU yang
memimpin SEMANGAT ..

Lihat sahaja sirah penyebaran islam..terlalu jelas buktinya..

Buat saudaraku , dan juga diriku..ILMU tanpa AMAL juga tidak berguna , kerana ia jua tidak berupaya memimpin semangat ,walaupun banyak ilmu didada..tetapi jika tidak diamalkan..sia-sia jua..

Asifah atas segala kesilapan,betulkan saya jika saya salah..Wallahua'lam

"Perjuangan sebenar ialah mengikut jalan yang betul dan saluran yang betul"



Sedikit PEMBETULAN ayat Al-Quran Ta’aruf sesi September 09/10


( In The Name of Allah,Most Gracious,Most merciful)

Tiada kata seindah bicara,
tiada makna seindah bahasa,
Jika hari ini saya berbahasa ,
Maka di arena blog inilah , akan saya luahkan rasanya..

Assalamualaikum wr.wb.wt.

Sedikit ilmu yang Allah beri pada saya ingin saya kongsikan pada entri kali ini, saya telah membetulkannya ketika sesi Ta’aruf yang lalu tetapi saya tidak dapat menjelaskan secara mendalam kerana kekangan masa. Saat perasaan nervous semakin reda ketika saya turun dari pentas Pusat Konvensyen Kuis membetulkan ayat AlQuran yang tersilap saya disapa oleh beberapa adik-adik dan kakak-kakak yang meminta saya menghuraikan tentang ayat Al-Quran tersebut.

Kesilapan adalah lumrah manusia , kesilapan mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Namun jangan kesilapan itu lumrah manusia atau ‘Nobody perfect’ dijadikan hujah untuk menutup kesilapan. Saya pernah tersilap memberi mafhum Al-Quran suatu ketika dahulu yang telah mengajar saya untuk tidak menerima bulat-bulat mafhum ayat Al-Quran atau nombor ayat yang yang diberi dalam ceramah-ceramah atau artikel-artikel atau yang seumpama dengannya.

Kadangkala kita menyampaikan dari apa yang kita dengar dari orang lain tanpa kita sedar insan yang menyampaikan itu tersilap dan kita tanpa sedar meneruskan kesilapan tersebut.Saya percaya tiada insan pun yang ingin tersilap ketika menggunakan ayat Al-Quran sebagai dalil atau hujah dalam penyampaian.Mereka pastinya tidak perasan dengan kesilapan tersebut.

Ada tiga kesalahan dalam Ayat Al-Quran yang saya perasan ketika sesi ta’aruf yang lalu ,Segala puji bagi Allah dan setinggi rasa syukur pada Allah jua yang membuatkan saya sedar tentang kesilapan tersebut,Bagi Allah sahaja segala rasa kagum dan pujian..Disini saya akan menyenaraikan terlebih dahulu kesilapan yang saya perasan dan diikuti dengan pembetulan , kesalahan yang saya kira tidak disengajakan itu adalah seperti berikut:

1. Pada Buletin Usrah , Mukasurat 10 tersilap catat ayat seperti berikut: “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka” ditulis sebagai surah An-Nur ayat 21.

2. Ketika di masjid seorang Fasilitator perempuan yang sangat baik akhlaknya,dan sangat baik budi pekertinya dan saya pastinya kesilapannya adalah tidak disengajakan telah mengatakan : “Dan labuhkanlah tudungmu hingga menutupi dada” dikatakan sebagai surah Al-Ahzab ayat 59

3. Presiden dan timbalan presiden 1 MPM(Majlis Perwakilan Mahasiswa,di IPT lain digelar MPP) KUIS telah tersilap menyebut satu mafhum Al-Quran yang berbunyi : “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah diri mereka sendiri”

PEMBETULAN

1. Kesalahan pertama ini ialah pada surahnya dan pada ayatnya juga. Ada dua ayat yang berbeza dalam dua surah yang berbeza tetapi saling berkaitan dalam Al-Quran yang sangat popular digunakan ketika membicarakan soal aurat wanita iaitu Surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Ahzab ayat 59.

Dan surah An-Nur ayat 21 yang ditulis dalam buletin usrah sebenarnya adalah mafhum ayat Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 59 dan syarahnya yakni huraiannya adalah dapat dilihat dari perkataan jilbab yang mana bermaksud sejenis pakaian yang dapat menutup kepala, wajah dan dada. Surah Al-Ahzab ayat 59 pada hakikatnya ialah mengenai suruhan Allah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan nabi memakai pakaian yang menutup aurat ketika di luar rumah dan pemakaian purdah bagi isteri menjaga kemaslahatan mereka.

2. Kesalahan kedua ini ialah pada surahnya dan pada ayatnya juga.Ayat yang disebut oleh fasilitator tersebut ialah sebenarnya surah An-Nur ayat 31 iaitu : “ ….Dan labuhkanlah kerudungmu hingga menutupi dada..”.Huraiannya ialah mengenai kewajipan seorang wanita memakai tudung yang menutupi dada dari pandangan depan , belakang dan sisi.

3. Mafhum yang betul ialah : .. “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka”- ayat ini untuk keterangan lanjut boleh rujuk surah Ar-Rad ayat 11 (lagi bagus jika quran tafsir darul iman) dan boleh rujuk Ustaz Abu Zaki juga.


Untuk rujukan lebih lanjut : Al-Quran tafsir, Buku Ranjau-ranjau Pergaulan Bebas:Abdul Baqi’ Ramdhun,Majalah Anis :keluaran Ogos/September(tak pasti mana satu samada Ogos atau September)

Segala pujian hanyalah bagi Allah, "Terima Kasih Ya Allah ,kerana membimbing kami kejalan-MU,Ya Allah jauhkanlah diri kami dari segala penyakit hati yang akan membuatkan kami berjalan diatas muka bumi-MU dalam keaadaan sombong dan takabbur."amin..

p/s: BETULKAN dan TEGURLAH saya jika saya salah.Wallahu’alam

Program pembangun JIWA

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang , Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah atas segala kasih dan sayang yang dicurahkan kepada hambanya..Selawat dan salam buat Rasulullah , kekasih Allah yang tidak jemu-jemu meyebarkan islam sepanjang hayatnya

..


Kasih tercipta , dan akhirnya sayang dituai dalam

ISLAM yang disebarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W

sehingga ISLAM mampu membangkit JIWA dan

menebarluaskan islam menaungi dua pertiga dunia..

Saat menulis entri pada hari ini saya baru shaja usai menghadiri Program Induksi dan Ta'aruf beberapa hari yang lalu..

Di IPT kini banyak aktiviti yang ‘grand’, tetapi sangat kurang aktiviti yang menekankan peningkatan iman, aktivit-aktiviti yang mempunyai ruh maksudnya aktiviti yang membangkit dan membangun jiwa.Namun , ta’aruf KUIS membawa kelainan kepada hati saya, masa-masa yang saya lalui sepanjang minggu ta’aruf samada ta’aruf fakulti, ta’aruf jabatan mahupun jejak kampus (ta’aruf fakulti dan jabatan adalah dibawah seliaan fakulti dan jabatan manakala jejak kampus dibawah seliaan sekretariat pimpinan pelajar KUIS) membawa jiwa saya menjadi lebih besar dalam memikirkan soal peranan, berfikir untuk menyelesaikan bukan berfikir mengenai masalah tersebut kerana dibawa mengingati asal-usul kejadian diri kita dan juga mengenai 3 persoalan utama buat manusia iaitu :

1. Dari mana kita datang?
2. Mengapa kita didatangkan?
3. Dan kemana kita akan kembali?


Ketika ta’aruf fakulti dan jabatan , Ustazah Nor’Ainan binti Bahari , Pengarah Akademi Islam KUIS mengingatkan tentang beberapa kunci mudah untuk berjaya sebagai seorang mahasiswa iaitu: jaga hubungan dengan Allah, hadir kelas, hantar assignment , dan hadir peperiksaan. Ustazah juga mengingatkan hubungan baik dengan Allah sahaja dapat membantu mempermudahkan segala urusan dan kejayaan.

Ustazah Azizah binti Mohd Rapini, Ketua Jabatan Undang-undang Akademi Islam pula menerangkan mengenai Personaliti Mahasiswa Akademi Islam, tersenyum sebentar saya apabila mengingatkan wajah-wajah pensyarah di jabatan Akademi Islam terutamanya Ustazah Azizah,disebalik ketegasannya jelas kelihatan sikapnya yang lucu dan ustazah kelihatan sangat kasih kepada pelajar-pelajarnya. Penyampaiannya disertakan dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang dikupas dengan jelas dan juga disertai dengan humor yang tidak keterlaluan.Tazkirah dari Ustaz Mohideen sangat bagus , Thumbs Up’ untuk ustaz.

Program jejak kampus juga sangat mendidik jiwa, saat lembaran sejarah islam disingkap , tatkala kebesaran Allah Rabbul Jalil diungkap , tika itu hati saya menjadi sayu , sayu dengan diri saya dan kesedihan menyelubungi jiwa mengenangkan saya tidak seperti Hassan Al-Banna ketika usianya yang jauh lebih muda dari saya ketika ini telah menyebarkan risalah iman ,risalah islam , yang membangun dan membangkit jiwa masyarakat untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya dan bukan risalah yang hanya berunsur semangat dan provokasi tanpa membawa mengenal islam dari dasarnya.Malah Rabi’ah Al-Adawiyah ketika usianya masih kecil telah membesar tanpa ayah dan ibunya yang telah meninggal dunia, walaupun Rabi’ah masih kecil beliau dikatakan lebih matang dari kakak-kakaknya dan membanting tulang menyara hidup keluarga dengan menyambung pekerjaan ayahnya sebagai pengayuh sampan.

“Ya Allah telah kau hadirkan padaku insan-insan dan contoh-contoh yang hebat seperti Hassan Al-Banna,Rabiah Al-Adawiyah, Ustaz-ustaz, Ustazah-ustazah, pimpinan pelajar,fasilitator-fasilitator agar diriku mencontohi mereka,mengambil apa yang baik pada mereka dan menjauhi apa yang buruk pada mereka.Bagi-MU Ya Allah segala kekaguman dan pujian yang menitipkan ilmu-ilmu dan sakhsiah yakni sikap yang terpuji pada diri mereka..pimpinlah diriku kejalan-MU dan tetapkanlah hatiku hanya untuk-MU.”

Tuesday, September 29, 2009

UNIVERSAL

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang , yang telah memilih kita untuk merasai nikmat islam yang sebenar .Segala rasa syukur dan pujian kepada-Nya kerana masih mengekalkan kita dalam dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan islam.Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah S.A.W,kekasih Allah yang sangat cantik ,indah,dan agung akhlaknya..


Entri saya kali ini agak panjang..Moga bermanfaat..

Universal bermaksud umum..dan umum bermaksud ia boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat..Drama-drama atau filem-filem juga diletakkan klasifikasi seperti U,18XL dan lain-lain lagi.

Namun begitu drama atau filem yang bersifat U lebih banyak dipasarkan , dipertontonkan , dan diterbitkan.Mengapa? Jawapannya ialah kerana UNIVERSAL atau UMUM boleh dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat ,baik yang tua , muda , mahupun kanak-kanak.

Perkara yang UMUM sangat penting kerana ia adalah permulaan bagi perkara yang khusus.Namun begitu perkara yang KHUSUS juga sangat penting kerana ia adalah perkara sebenar yang ingin diketahui , dan dicapai setelah mengetahui perkara umum.

Begitu juga halnya dengan perkara MENGAJAK kepada MAKRUF dan MENCEGAH perkara MUNGKAR. Dalam buku 7 Tahap Dakwah Fardhiyah oleh Mustafa Masyhur menggariskan peringkat demi peringkat untuk mengajak kepada ‘ amar makruf nahi mungkar ‘ bermula dengan ta’aruf , kemudian tafahhum dan seterusnya.Tetapi kenapa permulaannya mesti TA’ARUF??

Saya pernah mendengar satu perkongsian oleh Zamri Muhammad iaitu pengarang buku “ 77 TIPS MELEMBUTKAN HATI LELAKI ”..tetapi perkongsiannya itu bukanlah mengenai kaedah melembutkan hati lelaki tetapi mengenai kaedah mengenali dan mempengaruhi seseorang , saya tuliskan disini apa yang saya faham , moga dengan menulis saya tidak lupa dan moga bermanfaat..

Zamri Muhammad juga mengulang kembali apa yang digarap oleh Mustafa Masyhur iaitu bermula dengan TA’ARUF.Beliau memberitahu cara komunikasi dan mempengaruhi seseorang seperti rajah di bawah :


Apabila persoalan mengapa mesti bermula dengan proses ta’aruf,jawapannya ialah kerana ia umum.Jika dilihat rajah diatas yang dinamakan ‘ 3 share communication ’ ini Zamri Mohamad menyebut ia dibaca secara piramid terbalik di mana bermula dari perkara umum yakni ta’aruf.Beliau juga menyebut apabila seseorang ingin mengenali seseorang ada tiga soalan asas dalam konteks seorang pelajar IPT ialah :

1. Nama
2. Bidang Pengajian
3. Semester

Dalam konteks mereka yang bukan pelajar berbeza sedikit,tetapi tetap bermula dengan nama.

Ada satu kisah mengenai seorang hamba Allah bernama Aisyah, sebagai seorang pelajar IPT Aisyah sering menghadiri kursus atau program yang dijalankan di fakultinya..Aisyah menceritakan :

“ Ketika saya menghadiri satu program , seorang kakak senior (rasa saya) menegur saya “ Adik..dik..good luck ye program..”saya terkejut sedikit sebenarnya sebab kakak tersebut menegur saya secara tiba-tiba dan kakak itu bukanlah orang yang saya kenal atau peserta program,atau fasilitator atau segala benda yang berkaitan dengan program tersebut.

Saya tersenyum memandangnya sambil tangan saya menghulur salam , “ Terima kasih,kak.Nama akak apa ye? Kemudian kakak itu menjawab “ Eh,akak minta maaf ye main sergah je,,nama akak________ . Saya kemudian mengucapkan terima kasih sekali lagi dan berlalu pergi untuk pergi ke tempat program dijalankan.

Sepatutnya kakak tersebut bertanya dahulu,“ Eh,adik ni peserta program____ ke?” sebab saya tak pakai nametag pun ..dan kemudian baru ucap good luck ,kemudian baru tanya nama..

Bila saya dengar cerita ini , saya berkata sendiri ... betul juga mana tahu aisyah bukan peserta program.Tapi agaknya kakak tu kasyaf tak?(^_^)

Setelah dapat mengenali sesorang secara umum ,maka kita akan dapat mengenali secara khusus seperti yang dapat dilihat dalam rajah ruangan diatas umum ialah khusus..Kemudian diatasnya puala ialah komunikasi yang berlaku hanya antara suami dan isteri dan tidak diketahui insan lain.Tingkat teratas rajah komunikasi itu pula sesuatu yang dirasakan terlalu peribadi dan tidak diceritakan seorang insan kepada insan lain hatta pasangan mereka atau orang yang paling rapat dengan mereka.

Universalkanlah diri untuk menjalinkan persahabatan , menambah kenalan,memudahkan kerja-kerja mengajak kebenaran..membina jambatan keinginan dan rasa untuk merasai islam yang sebenar..

Seorang penceramah pernah menceritakan tentang kaedah ta'aruf yang saya rasakan adalah contoh UMUM, katanya :

Pernahkah anda melihat blog-blog mereka yang hebat dalam bidang masing-masing?

" Blog atau website Ustaz Zahazan , Tun Dr.Mahathir, Ustaz Zaharudin , blog Mazidul Akmal Sidek dan berbagai lagi..

Mereka menggunakan ’saya’ sebagai kata ganti diri pertama mereka..kenapa mereka itu tak guna ‘ana’atau ‘aku’ atau mungkin ‘gua’ .

Ini pendapat saya, setelah memahami serba sedikit konsep UMUM yang dipraktikkan dalam ta’aruf sesama insan,mungkin tak betul kerana ia hanya pendapat saya berdasarkan sedikit pehatian dan pembacaan semata-mata.

Saya berpendapat ia adalah kerana ‘saya’ lebih umum,apabila umum maka ia lebih mudah untuk diterima masyarakat,lebih mudah untuk masyarakat mendekati ‘saya’..Tetapi tidaklah bermakna ‘ana’, ‘aku’, ‘gua’ tidak mudah diterima masyarakat ,yang penting adalah isi yang disampaikan..tetapi saya melihat ‘saya’ lebih mudah. " katanya mengakhiri cerita tentang ta'aruf..

saya,kenapa saya sendiri membahasakan diri saya sebagai 'saya'..saya pun tak pasti ;) , tapi bila difikirkan balik mungkin kerana saya akan rasa lebih selesa untuk berinteraksi..bila dah dengar talk ni saya mula memahami bahawa...

UNIVERSAL=UMUM adalah permulaannya..

Wednesday, September 23, 2009

.: ~ Bangunlah ! ~ :.



Orang yang malas itu sebenarnya ketinggalan..
Orang yang mengantuk itu sebenarnya sudah tidur..
Orang yang mempunyai waktu terluang itu sebenarnya menganggur..
Orang yang hanya pandai berangan-angan itu sebenarnya papa kedana..

Bangunlah ! Sesungguhnya perjalanan sejauh beribu batu itu bermula dari langkah yang pertama..
Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :
“Dan bahawasanya seorang manusia tidak memperoleh selain apa-apa yang diusahakannya.Bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya) Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna” ~ Al-Najm:39-4

~ Orang yang memaksa dirinya lebih agung dari orang
yang menakluk kota

~ Orang Berjaya memerangi hawa nafsunya lebih mulia daripada orang
yang berjaya memerangi musuh Negara

~ Tidakkah kamu melihat tali yang sepanjang masa terikat pada batu yang pejal itu meninggalkan kesan ?

- dipetik dari buku Kunci Kejayaan Minda oleh Dr ‘Aidh A. Al-Qarni

Buat peringatan bersama.. tetapi lebih untuk diri saya (^_^) ketika ini..

Malas , ngantuk ,tak bermaya dan segala macam perasaan yang membuatkan minda memberitahu badan untuk berehat , tidur


…rehat,rehat dan rehat…
tidur,tidur dan tidur…

Perasaan seperti ini jangan dilayan ,makin dilayan makin menjadi-jadi…apa yang berlaku jika kita sebagai khalifah Allah terus rehat dan tidur?

Bukankah Allah telah berfirman yang mafhumnya :

“Tidak aku jadikan ji
n dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku” ~Ad-Dzariyat:56

Seorang kakitangan KIAS ( rasanya rektor kias , tapi tak berapa pasti) pernah hadir ke KUIS dan mentafsirkan ayat ini sebagai :

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menjadi hamba -hamba aku”

kerana katanya manusia lebih merasakan pengertian hamba itu mencakupi seluruh kehidupan berbanding ibadah yang dianggap sebagai ritual harian yang terasing dari gerak kerja kehidupan.

Jadi apakah yang akan berlaku jika kita sebagai khalifah terus rehat dan tidur ?

Adakah kita mahu kerja-kerja mengajak kepada kebenaran dan mencegah kepada kemungkaran menjadi lesu dan tidak bergerak di tangan kita ???

Ayuh ! Bangunlah wahai diri ..
Bekerjalah! dan buanglah segala anasir buruk yang membantutkan segala urusan..

Jangan bertangguh..itulah kuncinya..
PAKSA DIRI pada mulanya maka nanti kan jadi TABIAT dalam hidup kita..

Ayuh...!!! TAKBIR!!Allahuakbar!!

Saturday, September 19, 2009

Alhamdulillah ,banyak yang saya belajar..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Segala Puji-pujian dan syukur saya panjatkan kehadrat-Nya.Selawat dan salam saya buat kekasih Allah yang mulia ,Nabi Muhammad S.A.W.

Salam pengakhiran Ramadhan
dan Salam E'id Mubarak..

Semoga setelah keluar dari Madrasah Tarbiah Ramadhan,kita menjadi insan yang baru..hamba Rabbani yang makin tertingkat imannya bukan hamba Ramadhani.


~ Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan~

Lama saya biarkan blog ini tanpa post , Sebulan lamanya saya tidak menulis.Saya sedikit sibuk akhir-akhir ini tetapi sempat juga meninjau banyak blog.Alhamdulillah banyak yang saya belajar.

Seingat saya , saya memulakan blog ini ketika saya baru sahaja usai menjawab kertas peperiksaan terakhir bagi semester terakhir saya di Pusat Matrikulasi KUIS.

Kakak kedua saya ialah insan pertama yang tahu mengenai blog saya.Saya banyak belajar dari kakak saya..Sejujurnya apabila menulis kita akan banyak memperingati diri kita dan dalam masa yang sama kita akan dapat mendidik diri..ini ialah apa yang saya rasa apabila saya menulis..

Jujur saya katakan saya sebenarnya...
lebih suka public speaking daripada public writing.

Saya sangat suka menyertai pertandingan yang melibatkan public speaking seperti debat, pidato , story telling, speech , sajak , dan pantun.Tetapi saya melihat satu kelebihan bagi mereka yang mempunyai blog apabila mereka dapat memperingati antara satu sama lain..dan saya cemburukan kelebihan give and take tersebut..dan sememangnya seorang daie perlu faqeih (pakar) dalam pelbagai sudut kerana segala soft skill ini sangat membantu dalam kerja-kerja mengajak kepada yang makruf ..

Sepanjang saya meninjau banyak blog , saya dapat melihat blog juga mempunyai pelbagai genre..dan saya boleh simpulkan genre blog kepada tiga bahagian :

1.Blog berbentuk diari
2.Blog Ilmiah
3.Blog berbaur Politik ( ^_^)

dan ada juga blog yang mencampurkan ketiga-tiga diatas , dan ada juga hanya dua diatas . Semoga ilmu yang saya belajar setelah meninjau blog-blog ini dapat saya manfaatkan..aminn

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI~MAAF ZAHIR BATIN

Semoga saya dapat mentarbiyah saya di arena ini . InsyaAllah..