Showing posts with label sharing is loving. Show all posts
Showing posts with label sharing is loving. Show all posts

Monday, November 2, 2009

Sedikit PEMBETULAN ayat Al-Quran Ta’aruf sesi September 09/10


( In The Name of Allah,Most Gracious,Most merciful)

Tiada kata seindah bicara,
tiada makna seindah bahasa,
Jika hari ini saya berbahasa ,
Maka di arena blog inilah , akan saya luahkan rasanya..

Assalamualaikum wr.wb.wt.

Sedikit ilmu yang Allah beri pada saya ingin saya kongsikan pada entri kali ini, saya telah membetulkannya ketika sesi Ta’aruf yang lalu tetapi saya tidak dapat menjelaskan secara mendalam kerana kekangan masa. Saat perasaan nervous semakin reda ketika saya turun dari pentas Pusat Konvensyen Kuis membetulkan ayat AlQuran yang tersilap saya disapa oleh beberapa adik-adik dan kakak-kakak yang meminta saya menghuraikan tentang ayat Al-Quran tersebut.

Kesilapan adalah lumrah manusia , kesilapan mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Namun jangan kesilapan itu lumrah manusia atau ‘Nobody perfect’ dijadikan hujah untuk menutup kesilapan. Saya pernah tersilap memberi mafhum Al-Quran suatu ketika dahulu yang telah mengajar saya untuk tidak menerima bulat-bulat mafhum ayat Al-Quran atau nombor ayat yang yang diberi dalam ceramah-ceramah atau artikel-artikel atau yang seumpama dengannya.

Kadangkala kita menyampaikan dari apa yang kita dengar dari orang lain tanpa kita sedar insan yang menyampaikan itu tersilap dan kita tanpa sedar meneruskan kesilapan tersebut.Saya percaya tiada insan pun yang ingin tersilap ketika menggunakan ayat Al-Quran sebagai dalil atau hujah dalam penyampaian.Mereka pastinya tidak perasan dengan kesilapan tersebut.

Ada tiga kesalahan dalam Ayat Al-Quran yang saya perasan ketika sesi ta’aruf yang lalu ,Segala puji bagi Allah dan setinggi rasa syukur pada Allah jua yang membuatkan saya sedar tentang kesilapan tersebut,Bagi Allah sahaja segala rasa kagum dan pujian..Disini saya akan menyenaraikan terlebih dahulu kesilapan yang saya perasan dan diikuti dengan pembetulan , kesalahan yang saya kira tidak disengajakan itu adalah seperti berikut:

1. Pada Buletin Usrah , Mukasurat 10 tersilap catat ayat seperti berikut: “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka” ditulis sebagai surah An-Nur ayat 21.

2. Ketika di masjid seorang Fasilitator perempuan yang sangat baik akhlaknya,dan sangat baik budi pekertinya dan saya pastinya kesilapannya adalah tidak disengajakan telah mengatakan : “Dan labuhkanlah tudungmu hingga menutupi dada” dikatakan sebagai surah Al-Ahzab ayat 59

3. Presiden dan timbalan presiden 1 MPM(Majlis Perwakilan Mahasiswa,di IPT lain digelar MPP) KUIS telah tersilap menyebut satu mafhum Al-Quran yang berbunyi : “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah diri mereka sendiri”

PEMBETULAN

1. Kesalahan pertama ini ialah pada surahnya dan pada ayatnya juga. Ada dua ayat yang berbeza dalam dua surah yang berbeza tetapi saling berkaitan dalam Al-Quran yang sangat popular digunakan ketika membicarakan soal aurat wanita iaitu Surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Ahzab ayat 59.

Dan surah An-Nur ayat 21 yang ditulis dalam buletin usrah sebenarnya adalah mafhum ayat Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 59 dan syarahnya yakni huraiannya adalah dapat dilihat dari perkataan jilbab yang mana bermaksud sejenis pakaian yang dapat menutup kepala, wajah dan dada. Surah Al-Ahzab ayat 59 pada hakikatnya ialah mengenai suruhan Allah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan nabi memakai pakaian yang menutup aurat ketika di luar rumah dan pemakaian purdah bagi isteri menjaga kemaslahatan mereka.

2. Kesalahan kedua ini ialah pada surahnya dan pada ayatnya juga.Ayat yang disebut oleh fasilitator tersebut ialah sebenarnya surah An-Nur ayat 31 iaitu : “ ….Dan labuhkanlah kerudungmu hingga menutupi dada..”.Huraiannya ialah mengenai kewajipan seorang wanita memakai tudung yang menutupi dada dari pandangan depan , belakang dan sisi.

3. Mafhum yang betul ialah : .. “ Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka”- ayat ini untuk keterangan lanjut boleh rujuk surah Ar-Rad ayat 11 (lagi bagus jika quran tafsir darul iman) dan boleh rujuk Ustaz Abu Zaki juga.


Untuk rujukan lebih lanjut : Al-Quran tafsir, Buku Ranjau-ranjau Pergaulan Bebas:Abdul Baqi’ Ramdhun,Majalah Anis :keluaran Ogos/September(tak pasti mana satu samada Ogos atau September)

Segala pujian hanyalah bagi Allah, "Terima Kasih Ya Allah ,kerana membimbing kami kejalan-MU,Ya Allah jauhkanlah diri kami dari segala penyakit hati yang akan membuatkan kami berjalan diatas muka bumi-MU dalam keaadaan sombong dan takabbur."amin..

p/s: BETULKAN dan TEGURLAH saya jika saya salah.Wallahu’alam

Program pembangun JIWA

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang , Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah atas segala kasih dan sayang yang dicurahkan kepada hambanya..Selawat dan salam buat Rasulullah , kekasih Allah yang tidak jemu-jemu meyebarkan islam sepanjang hayatnya

..


Kasih tercipta , dan akhirnya sayang dituai dalam

ISLAM yang disebarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W

sehingga ISLAM mampu membangkit JIWA dan

menebarluaskan islam menaungi dua pertiga dunia..

Saat menulis entri pada hari ini saya baru shaja usai menghadiri Program Induksi dan Ta'aruf beberapa hari yang lalu..

Di IPT kini banyak aktiviti yang ‘grand’, tetapi sangat kurang aktiviti yang menekankan peningkatan iman, aktivit-aktiviti yang mempunyai ruh maksudnya aktiviti yang membangkit dan membangun jiwa.Namun , ta’aruf KUIS membawa kelainan kepada hati saya, masa-masa yang saya lalui sepanjang minggu ta’aruf samada ta’aruf fakulti, ta’aruf jabatan mahupun jejak kampus (ta’aruf fakulti dan jabatan adalah dibawah seliaan fakulti dan jabatan manakala jejak kampus dibawah seliaan sekretariat pimpinan pelajar KUIS) membawa jiwa saya menjadi lebih besar dalam memikirkan soal peranan, berfikir untuk menyelesaikan bukan berfikir mengenai masalah tersebut kerana dibawa mengingati asal-usul kejadian diri kita dan juga mengenai 3 persoalan utama buat manusia iaitu :

1. Dari mana kita datang?
2. Mengapa kita didatangkan?
3. Dan kemana kita akan kembali?


Ketika ta’aruf fakulti dan jabatan , Ustazah Nor’Ainan binti Bahari , Pengarah Akademi Islam KUIS mengingatkan tentang beberapa kunci mudah untuk berjaya sebagai seorang mahasiswa iaitu: jaga hubungan dengan Allah, hadir kelas, hantar assignment , dan hadir peperiksaan. Ustazah juga mengingatkan hubungan baik dengan Allah sahaja dapat membantu mempermudahkan segala urusan dan kejayaan.

Ustazah Azizah binti Mohd Rapini, Ketua Jabatan Undang-undang Akademi Islam pula menerangkan mengenai Personaliti Mahasiswa Akademi Islam, tersenyum sebentar saya apabila mengingatkan wajah-wajah pensyarah di jabatan Akademi Islam terutamanya Ustazah Azizah,disebalik ketegasannya jelas kelihatan sikapnya yang lucu dan ustazah kelihatan sangat kasih kepada pelajar-pelajarnya. Penyampaiannya disertakan dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang dikupas dengan jelas dan juga disertai dengan humor yang tidak keterlaluan.Tazkirah dari Ustaz Mohideen sangat bagus , Thumbs Up’ untuk ustaz.

Program jejak kampus juga sangat mendidik jiwa, saat lembaran sejarah islam disingkap , tatkala kebesaran Allah Rabbul Jalil diungkap , tika itu hati saya menjadi sayu , sayu dengan diri saya dan kesedihan menyelubungi jiwa mengenangkan saya tidak seperti Hassan Al-Banna ketika usianya yang jauh lebih muda dari saya ketika ini telah menyebarkan risalah iman ,risalah islam , yang membangun dan membangkit jiwa masyarakat untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya dan bukan risalah yang hanya berunsur semangat dan provokasi tanpa membawa mengenal islam dari dasarnya.Malah Rabi’ah Al-Adawiyah ketika usianya masih kecil telah membesar tanpa ayah dan ibunya yang telah meninggal dunia, walaupun Rabi’ah masih kecil beliau dikatakan lebih matang dari kakak-kakaknya dan membanting tulang menyara hidup keluarga dengan menyambung pekerjaan ayahnya sebagai pengayuh sampan.

“Ya Allah telah kau hadirkan padaku insan-insan dan contoh-contoh yang hebat seperti Hassan Al-Banna,Rabiah Al-Adawiyah, Ustaz-ustaz, Ustazah-ustazah, pimpinan pelajar,fasilitator-fasilitator agar diriku mencontohi mereka,mengambil apa yang baik pada mereka dan menjauhi apa yang buruk pada mereka.Bagi-MU Ya Allah segala kekaguman dan pujian yang menitipkan ilmu-ilmu dan sakhsiah yakni sikap yang terpuji pada diri mereka..pimpinlah diriku kejalan-MU dan tetapkanlah hatiku hanya untuk-MU.”

Tuesday, September 29, 2009

UNIVERSAL

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang , yang telah memilih kita untuk merasai nikmat islam yang sebenar .Segala rasa syukur dan pujian kepada-Nya kerana masih mengekalkan kita dalam dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan islam.Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah S.A.W,kekasih Allah yang sangat cantik ,indah,dan agung akhlaknya..


Entri saya kali ini agak panjang..Moga bermanfaat..

Universal bermaksud umum..dan umum bermaksud ia boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat..Drama-drama atau filem-filem juga diletakkan klasifikasi seperti U,18XL dan lain-lain lagi.

Namun begitu drama atau filem yang bersifat U lebih banyak dipasarkan , dipertontonkan , dan diterbitkan.Mengapa? Jawapannya ialah kerana UNIVERSAL atau UMUM boleh dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat ,baik yang tua , muda , mahupun kanak-kanak.

Perkara yang UMUM sangat penting kerana ia adalah permulaan bagi perkara yang khusus.Namun begitu perkara yang KHUSUS juga sangat penting kerana ia adalah perkara sebenar yang ingin diketahui , dan dicapai setelah mengetahui perkara umum.

Begitu juga halnya dengan perkara MENGAJAK kepada MAKRUF dan MENCEGAH perkara MUNGKAR. Dalam buku 7 Tahap Dakwah Fardhiyah oleh Mustafa Masyhur menggariskan peringkat demi peringkat untuk mengajak kepada ‘ amar makruf nahi mungkar ‘ bermula dengan ta’aruf , kemudian tafahhum dan seterusnya.Tetapi kenapa permulaannya mesti TA’ARUF??

Saya pernah mendengar satu perkongsian oleh Zamri Muhammad iaitu pengarang buku “ 77 TIPS MELEMBUTKAN HATI LELAKI ”..tetapi perkongsiannya itu bukanlah mengenai kaedah melembutkan hati lelaki tetapi mengenai kaedah mengenali dan mempengaruhi seseorang , saya tuliskan disini apa yang saya faham , moga dengan menulis saya tidak lupa dan moga bermanfaat..

Zamri Muhammad juga mengulang kembali apa yang digarap oleh Mustafa Masyhur iaitu bermula dengan TA’ARUF.Beliau memberitahu cara komunikasi dan mempengaruhi seseorang seperti rajah di bawah :


Apabila persoalan mengapa mesti bermula dengan proses ta’aruf,jawapannya ialah kerana ia umum.Jika dilihat rajah diatas yang dinamakan ‘ 3 share communication ’ ini Zamri Mohamad menyebut ia dibaca secara piramid terbalik di mana bermula dari perkara umum yakni ta’aruf.Beliau juga menyebut apabila seseorang ingin mengenali seseorang ada tiga soalan asas dalam konteks seorang pelajar IPT ialah :

1. Nama
2. Bidang Pengajian
3. Semester

Dalam konteks mereka yang bukan pelajar berbeza sedikit,tetapi tetap bermula dengan nama.

Ada satu kisah mengenai seorang hamba Allah bernama Aisyah, sebagai seorang pelajar IPT Aisyah sering menghadiri kursus atau program yang dijalankan di fakultinya..Aisyah menceritakan :

“ Ketika saya menghadiri satu program , seorang kakak senior (rasa saya) menegur saya “ Adik..dik..good luck ye program..”saya terkejut sedikit sebenarnya sebab kakak tersebut menegur saya secara tiba-tiba dan kakak itu bukanlah orang yang saya kenal atau peserta program,atau fasilitator atau segala benda yang berkaitan dengan program tersebut.

Saya tersenyum memandangnya sambil tangan saya menghulur salam , “ Terima kasih,kak.Nama akak apa ye? Kemudian kakak itu menjawab “ Eh,akak minta maaf ye main sergah je,,nama akak________ . Saya kemudian mengucapkan terima kasih sekali lagi dan berlalu pergi untuk pergi ke tempat program dijalankan.

Sepatutnya kakak tersebut bertanya dahulu,“ Eh,adik ni peserta program____ ke?” sebab saya tak pakai nametag pun ..dan kemudian baru ucap good luck ,kemudian baru tanya nama..

Bila saya dengar cerita ini , saya berkata sendiri ... betul juga mana tahu aisyah bukan peserta program.Tapi agaknya kakak tu kasyaf tak?(^_^)

Setelah dapat mengenali sesorang secara umum ,maka kita akan dapat mengenali secara khusus seperti yang dapat dilihat dalam rajah ruangan diatas umum ialah khusus..Kemudian diatasnya puala ialah komunikasi yang berlaku hanya antara suami dan isteri dan tidak diketahui insan lain.Tingkat teratas rajah komunikasi itu pula sesuatu yang dirasakan terlalu peribadi dan tidak diceritakan seorang insan kepada insan lain hatta pasangan mereka atau orang yang paling rapat dengan mereka.

Universalkanlah diri untuk menjalinkan persahabatan , menambah kenalan,memudahkan kerja-kerja mengajak kebenaran..membina jambatan keinginan dan rasa untuk merasai islam yang sebenar..

Seorang penceramah pernah menceritakan tentang kaedah ta'aruf yang saya rasakan adalah contoh UMUM, katanya :

Pernahkah anda melihat blog-blog mereka yang hebat dalam bidang masing-masing?

" Blog atau website Ustaz Zahazan , Tun Dr.Mahathir, Ustaz Zaharudin , blog Mazidul Akmal Sidek dan berbagai lagi..

Mereka menggunakan ’saya’ sebagai kata ganti diri pertama mereka..kenapa mereka itu tak guna ‘ana’atau ‘aku’ atau mungkin ‘gua’ .

Ini pendapat saya, setelah memahami serba sedikit konsep UMUM yang dipraktikkan dalam ta’aruf sesama insan,mungkin tak betul kerana ia hanya pendapat saya berdasarkan sedikit pehatian dan pembacaan semata-mata.

Saya berpendapat ia adalah kerana ‘saya’ lebih umum,apabila umum maka ia lebih mudah untuk diterima masyarakat,lebih mudah untuk masyarakat mendekati ‘saya’..Tetapi tidaklah bermakna ‘ana’, ‘aku’, ‘gua’ tidak mudah diterima masyarakat ,yang penting adalah isi yang disampaikan..tetapi saya melihat ‘saya’ lebih mudah. " katanya mengakhiri cerita tentang ta'aruf..

saya,kenapa saya sendiri membahasakan diri saya sebagai 'saya'..saya pun tak pasti ;) , tapi bila difikirkan balik mungkin kerana saya akan rasa lebih selesa untuk berinteraksi..bila dah dengar talk ni saya mula memahami bahawa...

UNIVERSAL=UMUM adalah permulaannya..

Saturday, September 19, 2009

Alhamdulillah ,banyak yang saya belajar..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Segala Puji-pujian dan syukur saya panjatkan kehadrat-Nya.Selawat dan salam saya buat kekasih Allah yang mulia ,Nabi Muhammad S.A.W.

Salam pengakhiran Ramadhan
dan Salam E'id Mubarak..

Semoga setelah keluar dari Madrasah Tarbiah Ramadhan,kita menjadi insan yang baru..hamba Rabbani yang makin tertingkat imannya bukan hamba Ramadhani.


~ Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan~

Lama saya biarkan blog ini tanpa post , Sebulan lamanya saya tidak menulis.Saya sedikit sibuk akhir-akhir ini tetapi sempat juga meninjau banyak blog.Alhamdulillah banyak yang saya belajar.

Seingat saya , saya memulakan blog ini ketika saya baru sahaja usai menjawab kertas peperiksaan terakhir bagi semester terakhir saya di Pusat Matrikulasi KUIS.

Kakak kedua saya ialah insan pertama yang tahu mengenai blog saya.Saya banyak belajar dari kakak saya..Sejujurnya apabila menulis kita akan banyak memperingati diri kita dan dalam masa yang sama kita akan dapat mendidik diri..ini ialah apa yang saya rasa apabila saya menulis..

Jujur saya katakan saya sebenarnya...
lebih suka public speaking daripada public writing.

Saya sangat suka menyertai pertandingan yang melibatkan public speaking seperti debat, pidato , story telling, speech , sajak , dan pantun.Tetapi saya melihat satu kelebihan bagi mereka yang mempunyai blog apabila mereka dapat memperingati antara satu sama lain..dan saya cemburukan kelebihan give and take tersebut..dan sememangnya seorang daie perlu faqeih (pakar) dalam pelbagai sudut kerana segala soft skill ini sangat membantu dalam kerja-kerja mengajak kepada yang makruf ..

Sepanjang saya meninjau banyak blog , saya dapat melihat blog juga mempunyai pelbagai genre..dan saya boleh simpulkan genre blog kepada tiga bahagian :

1.Blog berbentuk diari
2.Blog Ilmiah
3.Blog berbaur Politik ( ^_^)

dan ada juga blog yang mencampurkan ketiga-tiga diatas , dan ada juga hanya dua diatas . Semoga ilmu yang saya belajar setelah meninjau blog-blog ini dapat saya manfaatkan..aminn

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI~MAAF ZAHIR BATIN

Semoga saya dapat mentarbiyah saya di arena ini . InsyaAllah..